Petai


Pokok Petai merupakan sejenis tumbuhan dalam famili Leguminosae yang berasal dari kawasan Asia Tenggara yang beriklim panas lembap. Pokok ini selalunya tumbuh meliar di dalam hutan-hutan Malaysia, Indonesia, Brunei and Thailand, tetapi jarang didapati selain kawasan Asia Selatan. Nama botaninya Parkia speciosa - Hassk.

Ciri fizikal

Pokok Petai merupakan pokok saka yang besar dan rendang, dan boleh tumbuh setinggi 30 meter. Buah petai terdapat dalam deretan panjang dan nipis yang dikenali sebagai "papan". Setiap papan buah mempunyai antara 12 hingga 15 biji benih tersusun memanjang sepanjang buah. Buah ini, yang panjangnya sehingga 50 sentimeter apabila cukup tua, mempunyai kulit yang tebal tetapi lembut, benih dan licin berwarna kemerah-merahan. Biji-biji inilah yang dimakan kadang-kadang mentah dan kadang-kadang dibakar. Buah petai sering dimakan sebagai ulam oleh peminat, tetapi kurang popular kerana mempunyai bau yang kuat. Biasanya, petai dicicah dengan sambal untuk dimakan bersama nasi. Biji-biji petai yang dikupas, biasa juga dimasak sambal tumis bersama udang atau kerang.

Khasiat

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus, 11 peratus karbohidrat, 71% air, banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Sebenarnya kandungan pemakanan biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat mempunyai kandungan khasiatnya kurang. Dalam perubatan tradisional Melayu, biji petai dipercayai berkesan untuk merawat penyakit jantung dan penyakit kencing manis, mencuci buah pinggang, serta untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Pembiakan

Pokok petai mula berbunga ketika berusia lima tahun. Pendebungaan pokok ini adalah melalui spesies kelawar Eonycleris spelaed yang juga merupakan agen pendebungaan bagi Pokok Durian. Oleh kerana pokok petai dan pokok durian adalah bermusim, kelawar Eonycleris spelaed mencari makan dari madu pokok Bakau jenis Sonneratia pada musim yang lain.

Pokok petai biasanya ditanam menggunakan biji benih.


No comments:

Post a Comment