Kacang Botor


Pokok Kacang Botor (bahasa Inggeris: winged bean atau Goa bean), juga dipanggil kacang botol, kacang kelisa, kacang sirek, atau kalkang, ialah tumbuhan kekacang tropika yang berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan baik dalam iklim tropika lembap dengan hujan lebat dan oleh itu, banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina dan Indonesia ke India, Myanmar, dan Sri Lanka.

Pokok Kacang Botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa. Pokok Kacang Botor ialah tumbuhan herba saka, tetapi boleh ditumbuh sebagai pokok semusim.

Lenggai kacang biasanya sepanjang 15-22 sentimeter (6-9 inci) dan mempunyai empat sayap, dengan tepi yang beropol-ropol pada sepanjangnya. Kulitnya lekit-lekit, dan isinya kelihatan separuh lut cahaya di dalam lenggai yang muda. Ketika lenggai cukup masak, warnanya bertukar menjadi perang-abu dan lenggai itu terbelah untuk membebaskan biji-bijinya. Bunganya besar dan berwarna biru pucat. Kekacangnya serupa dengan kacang soya dari segi kegunaan dan kandungan pemakanan, dengan kandungan protein sebanyak 29.8% - 39%.

Pokok Kacang Botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan atau tidak memerlukan banyak baja.

Sebagai pokok tropika, Pokok Kacang Botor amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benih mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam tempoh beberapa minggu.

Kegunaan

Pokok Kacang Botor telah diberi nama samaran, "pasar raya satu spesies", kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan:
  • Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
  • Kacang mempunyai rasa yang sama dengan pucuk asparagus.
  • Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
  • Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun yang serupa dengan daun bayam.
  • Akar yang mempunyai perisa kacang boleh digunakan sebagai sayur berubi yang serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya dengan protein, berbanding ubi kentang.
  • Biji-biji kering amat berguna sebagai tepung, dan boleh dijadikan minuman seakan-akan kopi.
Setiap bahagian Pokok Kacang Botor boleh membekalkan vitamin A dan vitamin-vitamin yang lain. Adalah mungkin bahawa dengan sedikit pembaikan genetik melalui pembiakbakaan pilihan, Pokok Kacang Botor boleh meningkatkan taraf hidup berjuta-juta orang di negara-negara tropika yang miskin.


No comments:

Post a Comment