Saderi

Daun Saderi atau daun sup merupakan sejenis sayur yang berbatang lembut yang kaya dengan zat besi, fosforus, natrium, kalium, karotena, vitamin A, B-Kompleks dan C dan magnesium. Daun ini dikenali sebagai Apium graveolens dan berasal dari keluarga Dulce umbelliferae.

Kegunaan

Daun saderi merupakan penawar bagi menurunkan tekanan darah tinggi. Terdapat belbagai cara untuk menggunakan seleri sebagai ubat untuk mengubati tekanan darah tinggi dan cara yang paling berkesan adalah dengan memasukan sedikit daun seleri yang dipotong kecil-kecil dan ditumbuk halus bersama-sama dengan sedikit air dan gula. Untuk keberkesanan yang lebih baik ia hendaklah diminum 3 kali sekali.

Selain itu, seleri juga dapat mengubati keracunan yang berpunca daripada jangkitan bakteria. Antaranya adalah seperti terpijak paku berkarat, jangkitan kuman di bahagian luka atau dalam saluran kencing dan kes melecur teruk menyebabkan keracuanan darah dikenali sebagai sepsis atau septicemia.Kandungan garam galian dalam seleri memulihkan sifat alkalin dalam darah dan membantu menghentikan pembiakan kuman.

Penanaman

Beli Daun Sup dari pasar yang mempunyai akar. Rendamkan pokok daun sup itu di dalam bekas yang berisi air paip selama lebih kurang 1 hari. Semasa hendak tanam, potong daunnya (untuk dibuat masakan) dan tinggalkan akar dan pangkal pokok lebih kurang 1 - 2 inci. Tanam dalam pasu dan pastikan tanahnya sentiasa dijirus air dan sentiasa lembab. Letak ditempat teduh. Jangan jirus air terlalu banyak kerana ia akan reput.

Untuk menggunakan daun sup untuk masakan, jangan cabut keseluruhan pokok tersebut. Setakat ambil sahaja daunnya sahaja sebanyak mana yang diperlukan dan yang selebihnya boleh diambil apabila diperlukan supaya anda sentiasa mendapati daun yang segar. Lebih elok ambil daun yang lama dan biarkan pokoknya tumbuhkan daun baru.

Asparagus

Sayur asparagus berasal dari sejenis pokok berbunga yang dikenali sebagai Asparagus officinalis. Pokok ini berasala dari Eropah, utara Afrika dan barat Asia, namun kini banyak ditanam sebagai sayur. Sayur ini kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, natrium, kalium, vitamin A dan C dan niasin.

Kegunaan

Bagi mereka yang menghadapi masalah kulit yang berpunca daripada pengumpulan asid yang berlebihan dalam darah yang menyebabkan wujudnya masalah-masalah seperti jerawat atau kudis, asparagus merupakan jawapan yang tepat bagi mereka. Ini kerana kandungan alkali yang tinggi dalam jus asparagus boleh mengatasi masalah-masalah kulit.

Selain itu asparagus juga mengandungi eleman–eleman yang baik untuk kelenjar tiroid, pineal dan adrenal, jantung, hati, paru-paru, limpa, pankreas dan kulit.

Salad

Salad (Lactuca sativa) merupakan dalam keluarga daisi Asteraceae. Salad selalunya tumbuh sebagai sayur sayuran berdaun. Di kebanyakan negara, salad dimakan sejuk dan mentah di dalam hidangan salad, hamburger, taco, lain lain hidangan. Di beberapa tempat, seperti di China, salad selalunya dimakan dengan memasak dan pentingnya batang pada sayuran sama seperti pentingnya daun. Nama Inggeris dan nama Latin bagi genusnya asalnya diambil daripada perkataan lac, perkataan Latin untuk "susu", merujuk kepada jus tumbuhan tersebut yang "bersusu". Salah dijelaskan sejak berabad yang lalu sebagai sejenis tumbuhan penyejuk yang seimbang kepada bahan-bahan lain yang dicampurkan dalam salad.

Daun salad bukan sahaja digunakan untuk menghiaskan makanan, malahan juga enak dimakan begitu sahaja.Peranan daun salad bukan sahaja berhenti begitu sahaja kerana daun ini juga mempunyai kepentingan dari segi perubatan. Daun salad atau nama sainsnya Lactuca sativa, merupakan penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur. Tumbuhan ini kaya dengan zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C, mangnasium dan zink itu mengandungi sejenis kompaun yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Daun salad ini juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan yang melanda.Daun ini juga mengandungi karotin, seraf dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan.

Kucai

Kucai adalah dari gugusan tanaman bawang yang sesuai untuk ditanam untuk tujuan hiasan (ia berbunga) dan sebagai sayuran. Tanaman ini mengambil sedikit ruang dan boleh dimakan keseluruhanya (dari pucuk sampai bawangnya). Jika bunganya tak dicantas, ia sesuai untuk dijadi hiasan di tepi pinggan dengan bunganya yang berwarna ungu.

Variasi kucai yang popular adalah Kucai Cina yang mempunyai haruman seakan bawang putih pada daunnya. Bunganya pula berwarna putih.

Kucai boleh hidup di atas banyak jenis tanah. Terbaiknya adalah di atas tanah yang agak dalam dan dipenuhi dengan kompos dan bahan organik. Kucai tidak perlu banyak dibaja semasa pembesarannya, sekiranya tanah tadi mempunyai bahan kompos dan organik yang baik.

Ia boleh hidup di bawah panas matahari ataupun di teduhan. Jika kemarau sedikit-sedikit juga tidak mengapa kerana bawangnya masih ada. Sama seperti bawang, kucai ada akar berbawang dan daun. Bawang tersebut boleh bercambah dengan cepat sehingga beberapa tahun dan ini cara yang terbaik untuk menyemai kucai. Selain itu, kucai juga boleh ditanam dari bijinya.

Kucai adalah tanaman hayat panjang (perennial). Ia boleh terus hidup hingga beberapa tahun sekiranya keadaannya dijagai, iaitu tanah yang subur.

Kucai dituai dengan cara memotong bila diperlukan. Potong yang bahagian luar dan tinggal daunnya 2 inci dari paras perdu. Ia akan tumbuh kembali dengan baik. Kucai yang ditanam dari biji seharusnya dituai selepas setahun, atau pun setelah ia berbunga. Ini adalah untuk membiarkan ia mempunyai akar yang kukuh. Kucai berbunga di hujung musim bunga (di negara 4 musim) dan sekali lagi di bulan Julai. Kalau menanam kucai untuk di makan, bunganya perlu dibuang utk menggalakkan pertumbuhan daun sahaja.

Kucai mengandungi vitamin B dan C, karotin dan komponen belerang. Ia dapat mengubati penyakit-penyakit seperti senggugut, penyakit keputihan, darah tinggi dan sembelit.

Kucai bertindak sebagai antiseptik untuk membunuh kuman bakteria dalam usus dan menjadi perangsang dalam proses pengecutan serta pengembangan usus. Ia juga melancarkan pengaliran darah, sekali gus menghindarkan pembekuan darah. Cara penggunaannya adalah menumbuk daun kucai sehingga lumat dan kemudian dikacau dengan air panas lalu diminum. Penggunaannya adalah lebih mujarab sekiranya diminum setiap pagi.

Jering

Jering adalah tumbuhan yang berasal di Indonesia, Malaysia dan kawasan ASEAN. Daripada kajian yang telah dilakukan jering didapati mengandungi zat permakanan seperti berikut :-

1. 3.5 peratus protein,
2. 0.1 peratus lemak,
3. 1.7 peratus karbohidrat,
4. banyak mengandungi kalsium,
5. banyak mengandungi fosforus,
6. banyak mengandungi besi,
7. vitamin A,
8. vitamin B,
9. vitamin C.

Jering mempunyai rasa yang pahit dan berbau. Ini menyebabkan golongan muda kurang menyukainya. Tetapi bagi sesetengah orang yang telah lama mengenali jering, rasanya yang sungguh enak terutama sekali apabila dimakan bersama sos ataupun kelapa parut bergula.

Dari segi perubatan pula, biji jering mengandungi sejenis bahan alkoloid yang memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Bagi pesakit penyakit kencing manis pula, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Jering dikelaskan sebagai racun serdahana kerana ia mempunyai asid djenkolic, asid amino, yang menyebabkan keracunan Jering (djenkolism - jengkol bean poisoning). Ia menyebabkan "sakit mencucuk/berdenyut (spasmodic pain), penyakit gout, salur kencing tersekat dan kegagalan renal akut (acute renal failure)". Keadaan ni biasanya menyerang lelaki, dan tidak ditentukan oleh cara penyediaan jering, dan merekayang memakannya banyak kali tanpa apa-apa kesan, mungkin mendapat kegagalan renal pada satu ketika lain.

Pembiakan

Pokok jering mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Di kampung pokok ini ditanam dalam konsep dusun. Di hutan sekunder dan belukar pula, pokok jering masih lagi didapati tumbuh liar. Tupai Dahan adalah penyebar utama pokok ini.

Tomato


Tomato (Solanum lycopersicum, dulu Lycopersicon lycopersicum) merupakan sejenis tumbuhan yang buahnya dikenali sebagai sayur dan ditanam sebagai makanan. Tomato berasal dari benua Amerika, iaitu di Amerika Tengah, Selatan dan selatan Amerika Utara dari Mexico ke Peru. Tomato banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani dan pasar sayur.

Tomato merupakan sejenis tumbuhan saka yang ditanam sebagai tumbuhan semusim. Ia boleh mencapai tinggi 1-3 m dengan memaut pada pokok atau topang lain. Daun pokok tomato berbentuk pinat dengan panjang 10–25 cm dan mempunyai 5-9 daun kecil, setiap satunya sehingga 8 cm panjang dan pinggir berserat. Kedua-dua batang dan daun tomato agak berbulu. Bunga tomato bersaiz 1–2 cm diameter, kuning, dengan lima cuping bermata pada korola; biasanya bunga tomato muncul dalam cyme 3-12 sekali. Buah tomato merupakan bahagian yang dimakan. Saiznya berbeza mengikut jenis dari 1-2 cm kepada lebih 10 cm, namun jenis yang paling banyak dijual mempunyai diameter 5-6 cm. Warna buah tomato juga berbeza-beza, dengan warna merah yang paling popular.

Perkataan tomato berasal dari istilah Nahuatl, tomatl. Nama spesifiknya, lycopersicum, bermakna "pic-serigala" (bandingkan dengan spesies berkaitan S. lycocarpum, yang nama saintifiknya bermakna "buah-serigala", nama biasa "epal-serigala"). Antara spesies lain dalam genus Solanum ialah terung dan ubi kentang, serta beberapa spesies beracun.

Warna merah itu ialah disebabkan likopena, iaitu karotenoid atau sebatian semula jadi yang memberikan warna merah kepada tomato dan pelbagai khasiat kebaikan antioksidan semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Selain mempunyai kebaikan antioksidan, makanan yang mengandungi likopena itu juga boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser dan penyakit jantung.Hasil kajian pakar penyelidik asing mendapati bahawa kandungan likopena begitu tinggi dalam pes tomato, sos tomato dan jus tomato.

Kandungan airnya yang tinggi, lebih dari 90 %, menjadikannya sebagai ‘diuretic’ yang baik untuk mengalirkan toksin keluar daripada badan ketika berdiet.

Timun


Timun atau Mentimun (Cucumis sativus) merupakan sejenis buah tumbuhan yang dimakan sebagai sayur-sayuran dan ditanam sebagai makanan sejak 3000 tahun dulu. Timun boleh dimakan secara mentah atau segar dan juga dalam masakan.

Timun yang juga dikenali sebagai mentimun atau nama saintifiknya Cucumis sativus, mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan karbohidrat sebanyak 2.2%. Selain itu timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin C.

Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxanti ,yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menhidapi sakit tekak apabila diserang batuk , penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun dimana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang.

Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar.

Timun banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ia terletak dalam famili yang sama dengan tembikai dan labu.

Timun merupakan sejenis pokok memanjat dan sesuai untuk ditanam pada pagar. Ia boleh membiak daripada biji benih.

Terung


Terung ialah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Solanaceae dan genus Solanum. Ia berasal dari India dan Sri Lanka, dan amat berkait dengan tomato dan ubi kentang. Terung biasanya digunakan sebagai sayur untuk masakan. Nama botaninya Solanum melongena.

Pokok terung ialah pokok saka yang seringnya ditanam sebagai pokok setahun. Ia bertumbuh sehingga 40 - 150 cm (16 - 57 inci) tingginya. Daunnya besar, dengan lobus yang kasar. Ukurannya 10 -20 cm (4-8 inci) panjangnya dan 5 - 10 cm (2-4 inci) lebarnya. Jenis-jenis separa liar adalah lebih besar dan bertumbuh sehingga 225 cm (7 kaki), dengan daun yang melebihi 30 cm (12 inci) panjangnya dan 15 cm (6 inci) panjangnya. Batang pokok seringnya berduri. Warna bunganya antara putih hingga ungu, dengan korola yang memiliki lima lobus. Stamennya berwarna kuning. Buah tepung berisi, dengan diameter yang kurang daripada 3 cm untuk pokok liar, dan lebih besar lagi untuk jenis yang ditanam.

Dari segi botani, terung yang dikelaskan sebagai buah beri mengandungi banyak biji yang kecil dan lembut. Biji itu boleh dimakan tetapi rasanya pahit kerana ia mengandungi alkaloid nikotina. Ini tidaklah hairan kerana terung ialah saudara rapat tembakau.

Sejarah

Terung ialah sayuran yang ditanam untuk dimakan. Saiz terung berbeza-beza antara kecil hingga besar, bergantung kepada kultivarnya. Sayur tersebut mempunyai berbagai-bagai warna, terutamanya warna ungu, hijau, dan putih. Terung berasal dari India. Ia ditanam di bahagian selatan dan timur Asia sejak zaman prasejarah tetapi dikenali di dunia Barat tidak lebih awal dari sekitar tahun 1500. Rekod bertulis yang pertama terhadap Pokok Terung dijumpai dalam Qí mín yào shù, sebuah karya pertanian Cina kuno yang disiapkan pada tahun 544. Bilangan nama bahasa Arab dan Afrika Utara yang besar untuk Pokok Terung serta kekurangan nama Yunani dan Rom menunjukkan bahawa pokok ini dibawa masuk ke dunia Barat menerusi kawasan Mediterranean oleh orang Arab pada awal Zaman Pertengahan. Nama saintifiknya, Solanum melongena, berasal daripada istilah Arab abad ke-16 untuk sejenis pokok terung.

Disebabkan hubungan Pokok Terung dengan keluarga Solanaceae, buah terung dianggap pada suatu ketika sebagai beracun. Sedangkan buah terung boleh dimakan tanpa sebarang kesan yang buruk oleh kebanyakan orang, bagi sesetengah orang yang lain, memakan buah terung (serupa dengan memakan buah pokok yang berkait seperti tomato, ubi kentang, dan kapsikum atau cili kembung) boleh menjejaskan kesihatan mereka. Sesetengah buah terung adalah agak pahit dan merengsakan pelapik perut serta mengakibatkan gastritis. Oleh yang demikian, sesetengah sumber, khususnya daripada komuniti kesihatan semula jadi, mengatakan bahawa Pokok Terung dan genus berkait boleh mengakibatkan atau menerukkan artritis dengan ketara dan justera itu, harus dijauhi oleh mereka yang peka terhadapnya.



Serai


Serai atau serai makan (nama botani: Cymbopogen citratus) adalah tumbuhan herba malar hijau yang dikenali juga sebagai sereh makan (Indonesia), takrai (Thailand) lemongrass (Inggeris). Tanaman serai makan (cymbopogen citratus) dipercayai berasal dari Sri Lanka dan telah tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China. Tumbuhan ini selalunya digunakan dalam masakan di kalangan masyarakat Asia terutamanya masakan Thailand, Kemboja,Vietnam) dan Caribbean.

Penanaman

Serai mudah ditanam di mana-mana jenis tanah kecuali kawasan berair atau berpaya. Di Malaysia khususnya, serai makan banyak di tanam sebagai tanaman dapur. Batang serai dituai untuk kegunaan segar sebagai perisa dalam masakan. Serai makan ialah sejenis tanaman rumput yang beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan. Daunnya tirus, melampai, panjangnya 60−100 cm dan lebar 1.0−1.5 cm. Ia berwarna hijau muda, kesat dengan urat yang selari. Serai makan jarang didapati berbunga di Malaysia.

Kegunaan

Tumbuhan ini mempunyai perasa lemon dan boleh dikeringkan untuk menjadi tepung atau digunakan segar. Digunakan dalam teh, sup, dan masakan kari, serai juga sesuai digunakan dalam masakan ayam, ikan, dan makanan laut.

Terdapat lebih 50 spesies Cymbopogon. Serai India Timur (Cymbopogon flexuosus) adalah tempatan di India, Sri Lanka, Burma, dan Thailand sementara Serai India Barat (Cymbopogon citratus) dipercayai berasal dari Malaysia. Sementara kedua-dua boleh digunakan, C. citratus lebih sesuai untuk memasak. Di India C. citratus digunakan untuk herba perubatan dan wangi-wangian.

Spesies lain digunakan dalam industri minyak wangi adalah Cymbopogon martini (disuling menjadi minyak palmarosa) dan Rumput Citronella (Cymbopogon winterianus Jowitt) dari mana minyak citronella didapati. Lilin atau gaharu diperbuat dengan minyak citronell.


Ulam Raja


Pokok Ulam Raja (nama lain: Pokok kenikir) merupakan tumbuhan tropika yang berasal dari Amerika Latin, tetapi tumbuh meliar dan mudah didapati di Florida, Amerika Syarikat, serta di Malaysia dan negara-negara ASEAN. Ulam Raja adalah sejenis spesis bunga intan berayun yang berwarna unggu atau kuning dan berbunga kecil. Manakala pokok bunga yang berwarna kuning jarang digunakannya sebagai ulam, yang berwarna unggu merupakan sayuran ulam yang amat popular dimakan mentah bersama nasi atau di cicah dengan budu, sambal belacan atau tempoyak serta cincalok.

Berdasarkan kajian tempatan, ulam raja mengandungi 3 peratus protein, 0.4 peratus lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.

Herba ini adalah herba semusim mencapai ketinggian hampir satu meter. Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas.

Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau apabila diramas.

Herba ubat

Ulamnya yang digelarkan "ulam raja" telah digunakan secara tradisi untuk memperbaiki peredaran darah dan mencuci darah, serta untuk menguatkan tulang. Ulamnya mempunyai keupayaan antioksida (AEAC) yang amat tinggi, iaitu setiap 100 gram ulam yang segar mempunyai keupayaan antioksida yang sama dengan 2,400 miligram L-asid askorbik. Melebihi dua puluh jenis bahan antioksida telah dikenal pasti dalam ulam raja. Bahan-bahan antioksida yang utama disebabkan oleh kehadiran sebilangan proantosianidin yang wujud sebagai dimer, melalui heksamer, kuersetin glikosida, asid klorogenik, asid neoklorogenik, asid kripto-klorogenik, serta penangkap (+)-. Keupayaan ulam raja untuk mengurangkan tekanan oksidatif mungkin sebahagiannya terdiri daripada kandungan antioksidanya yang tinggi.

Kesimpulan

Orang Melayu daripada dahulu telahpun mengetahui khasiat dan telah menafaatkan pelbagai jenis tumbuhan yang tumbuh merata sebagai makanan harian atau sebagai ubatan. Pada masa kini, pengetahuan yang memakan masa bergenerasi untuk dikumpulkan kini terancam untuk pupus begitu sahaja. Oleh itu, marilah bersama-sama menghargai setiap tumbuhan yang terdapat disekitar serta berganding bahu untuk memelihara, memulihkannya dan merakamkan kegunaannya. Semoga apa yang kita ada akan terus berkekalan untuk tinggalan generasi yang akan datang agar mereka juga merasai nikmat yang masih kita rasai pada masa kini.


Kacang

Kacang Panjang

Kacang panjang merupakan tumbuhan yang dijadikan sayur atau ulam. Ia tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Bahagian yang dijadikan sayur atau ulam adalah buah pokok tersebut.

Ia mudah didapati di kawasan panas di Asia.

Kacang BuncisKacang buncis merupakan sejenis sayur kekacang yang berbuah dan sangat kaya dengan kandungan protein. Ia dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Kacang buncis atau nama saintifiknya adalah Phaseolus vulgaris mengandungi pelbagai khasiat yang tidak terdapat pada tumbuhan sekelurga dengannya.

Pokok kacang buncis bertabiat tumbuh melilit, mempunyai akar tunjang dan sisi yang panjang dan memerlukan pancang untuk memanjat.
Pokok kacang buncis biasa

Sayur yang kaya dengan protein dan vitamin ini membantu menurunkan tekanan darah serta mengawal metabolisme gula dalam darah dan amat sesuai dimakan oleh mereka yang menghidapi penyakit kencing manis atau darah tinggi. Kacang ini dapat membantu mengatasi masalah mereka. Ini kerana ujian makmal telah menunjukkan kacang ini mengandungi serat dan enzim yang boleh membantu menurunkan berat badan.

Petola


Petola atau juga dikenali sebagai petola segi (nama sains: Luffa acutangula) merupakan buah dalam kategori sayuran hijau. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Luffa atau Loofah/Lufah (dari bahasa Arab لوف) dan merupakan tumbuhan tropika dan sub tropika menjalar tahunan yang terdiri dari genus Luffa. Buah dari dua spesies, L. acutangula dan L. aegyptiaca, ditanam untuk dituai sebelum buah matang dan dimakan sebagai sayuran, dan popular dalam masakan Asia dan Afrika.

Buah L. aegyptiaca juga sering dibiar matang dan dikeringkan sebagai span mandian atau di dapur selepas diproses bagi meninggalkan hanya jaringan xilem. Versi ini dikenali sebagai Lifah dalam bahasa Arab, ভোল bhol dalam bahasa Assamese, dhundul dalam bahasa Bengali, ghiya tori atau nerua dalam Hindi atau "peerkankai" dalam bahasa Tamil atau "beera kaya" dalam bahasa Telugu

Span Loofah digunakan sebagai berus badan. Kedua span kasar dan lembut dikenali sebagai Luffa atau Loofah.

Petai


Pokok Petai merupakan sejenis tumbuhan dalam famili Leguminosae yang berasal dari kawasan Asia Tenggara yang beriklim panas lembap. Pokok ini selalunya tumbuh meliar di dalam hutan-hutan Malaysia, Indonesia, Brunei and Thailand, tetapi jarang didapati selain kawasan Asia Selatan. Nama botaninya Parkia speciosa - Hassk.

Ciri fizikal

Pokok Petai merupakan pokok saka yang besar dan rendang, dan boleh tumbuh setinggi 30 meter. Buah petai terdapat dalam deretan panjang dan nipis yang dikenali sebagai "papan". Setiap papan buah mempunyai antara 12 hingga 15 biji benih tersusun memanjang sepanjang buah. Buah ini, yang panjangnya sehingga 50 sentimeter apabila cukup tua, mempunyai kulit yang tebal tetapi lembut, benih dan licin berwarna kemerah-merahan. Biji-biji inilah yang dimakan kadang-kadang mentah dan kadang-kadang dibakar. Buah petai sering dimakan sebagai ulam oleh peminat, tetapi kurang popular kerana mempunyai bau yang kuat. Biasanya, petai dicicah dengan sambal untuk dimakan bersama nasi. Biji-biji petai yang dikupas, biasa juga dimasak sambal tumis bersama udang atau kerang.

Khasiat

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus, 11 peratus karbohidrat, 71% air, banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Sebenarnya kandungan pemakanan biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat mempunyai kandungan khasiatnya kurang. Dalam perubatan tradisional Melayu, biji petai dipercayai berkesan untuk merawat penyakit jantung dan penyakit kencing manis, mencuci buah pinggang, serta untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Pembiakan

Pokok petai mula berbunga ketika berusia lima tahun. Pendebungaan pokok ini adalah melalui spesies kelawar Eonycleris spelaed yang juga merupakan agen pendebungaan bagi Pokok Durian. Oleh kerana pokok petai dan pokok durian adalah bermusim, kelawar Eonycleris spelaed mencari makan dari madu pokok Bakau jenis Sonneratia pada musim yang lain.

Pokok petai biasanya ditanam menggunakan biji benih.


Peria


Pokok Peria Katak (bahasa Inggeris: bitter gourd, bitter melon, balsam pear atau balsam apple) ialah pokok menjalar subtropika daripada famili Cucurbitaceae yang dikenali sebagai sayur-sayuran dan di tanam sebagai makanan. Pokok ini banyak ditumbuh di Asia Selatan, Asia Tenggara, China, dan Caribbean untuk buahnya yang boleh dimakan dan yang merupakan sayur yang paling pahit di dunia. Tempat asalnya tidak diketahui kecuali pokok ini berasal dari kawasan tropika. Nama botaninya Momordica charantia.

Huraian

Pokok Peria Katak ialah pokok herba menjalar yang mempunyai batang lembut dan memanjat dengan melilit menggunakan sulur paut. Tingginya sehingga 5 meter. Pokok ini mempunyai akar tunjang serta juga akar sisi berserabut yang berkembang luas di kawasan sekeliling. Daun-daunnya berselang-seli, dengan lebar sebanyak 4-12 sentimeter. Setiap daun yang berwarna hijau mempunyai 3 hingga 7 cubing yang ketara.

Pokok Peria Katak mempunyai bunga berwarna kuning, dan menghasilkan bunga jantan dan bunga betina yang berasingan. Buahnya mempunyai kulit yang menggerutu dan berwarna hijau muda ketika mentah. Bentuknya memanjang (17-23 sentimeter), dengan berat antara 300-600 gram sebiji. Rasanya pahit dan seringnya dimakan ketika masih mentah. Bagaimanapun, buah ini juga boleh dimakan ketika masak dan berwarna kekuning-kuningan atau jingga merah. Biji buah mentah berwarna putih, tetapi menjadi merah ketika masak.

Kegunaan masakan

Peria Katak jarang dicampurkan dengan sayur-sayuran yang lain kerana rasa pahitnya yang kuat. Bagaimanapun, rasanya boleh disederhanakan dengan setakat tertentu melalui membubuh garam dan kemudian mencuci buah yang telah dipotong itu sebelum digunakan.

Peria Katak sering digunakan dalam masakan Cina disebabkan rasanya yang pahit. Sayur ini biasanya digoreng, sering dengan daging dan douchi. Peria Katak juga biasa digunakan untuk sup, dan sebagai teh.

Pokok Peria Katak banyak ditanam di seluruh India dan Pakistan di mana karela chip dimakan dengan penuh nikmat. Peria ini juga digunakan sebagai kuah sambar di India selatan ataupun disumbatkan dengan bawang dan tomato berempah serta digoreng. Di India Utara dan Pakistan, peria dimakan, baik dengan daging kisar atau kekacang yang disumbat, mahupun sebagai tambahan untuk makanan daging atau kekacang.

Peria Katak jarang digunakan di tanah besar Jepun, tetapi merupakan satu bahan yang penting dalam masakan Okinawa.

Sayur ini digunakan untuk berbagai-bagai makanan di Filipina. Satu makanan yang popular di kawasan Ilocos di Filipina ialah pinakbet yang terdiri terutamanya daripada peria katak, terung, okra, kacang buncis, tomato, kacang lima, dan pelbagai sayur-sayuran tempatan yang direndidih dengan air rebusan berdasarkan bagoong.

Tunas dan daun muda Peria Katak juga dimakan sebagai sayur-sayuran. Bijinya yang manis juga boleh dimakan, tetapi diketahui boleh menyebabkan muntah dan sakit perut.

Kegunaan perubatan

Peria Katak juga mempunyai pelbagai kegunaan sebagai ubat tradisional di sekeliling dunia, serta berpotensi untuk merawat jangkitan HIV. Dalam perubatan Ayurveda India, Peria Katak sering diperlihatkan sebagai sejenis "insulin tumbuhan" dan oleh itu, amat disyorkan untuk pesakit kencing manis. Di Filipina, Teh Peria Katak digunakan dengan amat berjaya untuk merawat kencing manis dan kawalan gula darah bagi orang miskin.

Rasa pahit Peria Katak datangnya daripada kandungan kuinin yang tinggi dan secara kebetulan, telah dianggap oleh orang-orang Asia, serta Panama dan Columbia, sebagai bahan untuk mencegah dan merawat demam malaria.





Pegaga

Pokok Pegaga atau juga dikenali sebagai pokok antanan (bahasa Inggeris: pennywort) adalah sejenis pokok ulam yang terdapat Malaysia serta di negara-negara ASEAN. Nama botaninya Centella asiatica.

Terdapat pelbagai jenis pegaga di Malaysia seperti:

1. Pegaga cina atau pegaga nyonya yang berdaun kecil,
2. Pokok Pegaga Daun Lebar,
3. Pokok Pegaga Kelantan,
4. Pokok Pegaga Renek
5. Pokok Pegaga Salad
6. Pokok Pegaga Gajah
7. Pokok Pegaga Brunei

Pegaga tumbuh di kawasan tropika yang terbuka dan tumbuh melata di padang rumput, kebun, ladang, tepi jalan dan sebagainya. Di Indonesia, jenis-jenis pegaga yang ada adalah daun kaki kuda, tikusan, pani gowang, pegagan.

Khasiat

Pegaga kaya dengan pelbagai zat makanan seperti protein, gentian, zat besi, vitamin A dan C. Amalan memakan daun pegaga dipercayai boleh mengekalkan awet muda serta mengelakkan masalah kegemukan.

Pegaga banyak terjual di pasar terutamanya di pasar tani dan sering dimakan sebagai ulam. Daun pegaga juga boleh dibuat tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan.

Di India, pegaga diguna dalam perubatan tradisional sebagai tonik yang dapat menguatkan daya ingatan dan mengubat penyakit nyanyuk. Dalam perubatan tradisional Cina, pegaga digunakan untuk antaranya untuk mengubati selsema, sakit kuning dan penawar untuk keracunan cendawan dan gigitan ular.

Antara khasiat lain pegaga adalah:
  • penawar alahan
  • anti kanser
  • melawaskan air kencing
  • penawar batu karang
  • penawar kencing berdarah
  • penawar ulser
  • merangsang peredaran darah
  • merawat cirit birit
  • menurunkan tekanan darah

Pandan

Pokok Pandan merupakan sejenis pokok yang banyak kegunaannya bagi orang-orang Melayu. Ia digunakan sebagai pewangi makanan dan dalam upacara tertentu seperti sebagai bunga rampai dalam istiadat perkahwinan Melayu.

Limau

Limau kesturi Limau Kasturi (Citrus microcarpa) sering dijadikan minuman sejuk bersama air batu. Ia dipercayi mampu menyejukkan badan dan menghilangkan dahaga dengan lebih berkesan.

Limau nipis

Limau nipis (nama botani: Citrus Aurantifolia) merupkan sejenis tumbuhan yang buahnya dijadikan air minuman dan juga dicampur dalam masakan. Limau nipis dipercayai berasal dari India dan Myanmar atau Asia Tenggara. Kini ia ditanam hampir di seluruh kawasan tropika dan subtropika. Buahnya terkenal sejenis perisa yang penting dalam masakan Melayu seperti mee rebus, mee bandung, dan lain-lain. Pokoknya pula adalah lebih kurang 5 m tinggi. Limau nipis juga boleh dijadikan air yang menyegarkan untuk diminum semasa hari panas terik. Ia turut dicampurkan kepada air teh o bagi menambahkan kelazatan.

Penanaman

Limau nipis biasanya ditanam secara tut di Asia Tenggara. Di kawasan lain, bijinya digunakan sebagai benih. Limau nipis juga boleh membiak melalui kaedah cantuman tetapi jarang dilakukan. Limau nipis sesuai dengan iklim yang panas dan lembab seperti di negara kita. Boleh ditanam di atas berbagai jenis tanah tetapi didapati lebih sesuai ditanam di atas tanah jenis lom berpasir.

Buah

Buah limau nipis adalah kecil dan bulat atau bujur jenis beri, berukuran 2.5cm – 5 cm garis pusat. Kulitnya berkilat dan licin dan isinya berwarna hijau kekuningan, berair tetapi masam. Buah limau
nipis mengeluarkan bau yang wangi. Antaranya, buahnya boleh digunakan untuk membersihkan rambut dan kepala terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kelemumur. Buahnya juga sering kali digunakan untuk menyental dan mengilatkan kuku di samping boleh dijadikan sebagai bahan pencuci bagi menghilangkan bau badan. Bagi suri rumah pula, buah limau nipis sudah tidak asing kerana selalu digunakan sama ada sebagai perisa masakan dan makanan. Dalam pada itu, di kalangan pengamal ubat-ubatan herba, air perahan buah limau nipis yang dicampurkan dengan kapur makan dikatakan boleh mengempiskan badan ibu-ibu yang baru bersalin iaitu dengan menyapukan ramuan itu ke bahagian perut.

Khasiat


Jus buah limau nipis membunuh kuman disenteri, kolera dan
tifoid. Asid sitrik yang terkandung dalam limau nipis berkesan menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Asid sitriknya juga boleh digunakan untuk melegakan perut dan melancarkan penghadaman. Limau nipis juga mengandungi vitamin A.

Kegunaan lain


Minyak yang diperah daripada kulit buah limau nipis digunakan sebagai pewa
ngi dan aroma terapi dalam perubatan alternatif. Asid sitrik daripada jus limau nipis digunakan dalam industri makanan, minuman, farmasi dan dalam proses mewarnakan kain.

Limau purut

Limau purut sering kali digunakan dalam perubatan tradisi Melayu. Ia juga digunakan sebagai bahan masakan dalam masakan Thai.

Lengkuas

Pokok Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan, dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia.

Kunyit


Kunyit (Curcuma longa) merupakan sejenis rempah yang banyak digunakan dalam kari dan masakan lain Asia Selatan. Kunyit juga digunakan untuk memberi warna kuning pada masakan.Selain kegunaan kepada masakan, kunyit juga terkenal di kalangan masyarakat Melayu dan India dengan khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu daun serta bunga kunyit bagi sesetengah masyarakat Melayu memang digemari sebagai ulam.

Kubis Bulat


Kobis bulat (bahasa Inggeris: Cabbage) merupakan sejenis sayur. Brassica oleracea merupakan nama sains bagi bunga kobis dan sayur ini berasal dari keluaraga Brassica. Sayur ini mengandungi belerang atau sulfur, iaitu sejenis zat galian yang penting untuk kesihatan. Kobis bukan sahaja berkesan untuk mengubati penyakit ulser dan barah malahan juga berkesan untuk mengubati masalah–masalah lain di usus.

Kobis yang kaya dengan kalsium, fosforus, zat besi, sodium, potasium dan vitamin A, B- Kompleks dan C dapat meredakan masalah di bahagian perut dan hati seperti yang dialami oleh mereka yang lali arak. Kompaun belerang dalam kubis dapat menghindarkan pengeluran carcinogen, sejenis bahan kimia berbahaya dalam tubuh badan. Amalan memakan kobis dapat menghalang carcinogen daripada bergabung menjadi sel-sel darah. Selain itu asid amino yang mengandungi belerang dalam kubis juga bertindak menurunkan paras kolestrol , meredakan saraf dan menenangkan fikiran dan sekaligus membantu seseorang itu tidur dengan selesa pada waktu malam.

Kobis bulat banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur.

Kangkung


Kangkung atau Kangkong atau nama saintifiknya Ipomoea aquatica Forsk., juga Ipomoea reptans Poir1. Kangkong merupakan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai sayur-sayuran dan di tanam sebagai makanan. Kangkung banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Kangkung banyak terdapat di kawasan Asia dan merupakan tumbuhan yang boleh dijumpai hampir di mana-mana kawasan berair.

Gambaran

Terdapat dua bentuk kangkong: kontang dan basah. Kangkong mempunyai daun licin berbentuk mata panah, sepanjang 5-6 inci, berbentuk tirus. Ia mempunyai batang menjalar dengan daun berselang dan batang menegak pada pangkal daun. Tumbuhan yang boleh dimakan ini bewarna hijau pucat dan menghasilkan bunga bewarna putih, yang menghasilkan pod empat biji benih. Terdapatjuga jenis daun lebar dan daun tirus.

Penanaman

Dua jenis penanaman diusahakan: kering dan basah. Dalam kedua kes, sejumlah besar bahan organik (kompos dan najis) dan air diperlukan.

Dalam penanaman kering, kangkong ditanam pada jarak 5 inci pada batas dan disokong dengan kayu sangga. Kangkong boleh ditanam dari biji benih atau keratan akar. Ia sering ditanam pada tapak semaian sebelum dipindahkan di kebun. Penuaian dilakukan selepas 6 minggu ia ditanam.

Dimana penanaman basah diamalkan, potongan sepanjang 12-inci ditanam dalam lumpur dan dibiar basah. Semasa kangkong tumbuh, kawasan basah ditenggelami pada tahap 6 inci dan aliran air perlahan dikekalkan. Aliran air ini dihentikan semasa pembajaan. Rumpai dikawal dengan membanjiri kebun. Tuian dilakukan 30 hari selepas penanaman. Apabila pucuk diambil, cabang sisi dan menegak digalakkan dan boleh dituai setiap 7-10 hari.

Semasa berbunga, pucuk kangkong kurang tumbuh tetapi pembajaan dan penuaian cenderung menggalakkan lebih banyak daun terhasil.

Kegunaan

Hampir keseluruhan tanaman muda boleh dimakan. Oleh kerana kangkong tua mempunyai serabut, kangkung pucuk muda adalah lebih digemari. Ia boleh dimakan mentah (seperti kerabu) atau dimasak seperti bayam. Kangkong sering digoreng. Rempah dicampurkan bagi menambah rasa yang hambar.

Antara masakan yang popular yang mengunakan kangkung adalah kangkung goreng belacan.

Kangkung juga merupakan makanan kepada salah satu spesies haiwan Chersina, iaitu kura-kura. Arnab juga suka memakan kangkung.

Kacang soya


Kacang soya ialah sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Timur. Pokoknya yang tegak dan rimbun berukuran sehingga 70 sentimeter. Bunganya berbentuk gumpalan dan berwarna putih atau unggu. Nama saintifiknya Glycine max.

Kacang soya hijau berbentuk gumpalan 3 - 15, berbulu, berwarna hijau, mengandungi 2 - 4 biji, panjangnya 3 - 7 cm. Kacang soya berbentuk bulat, berwarna kuning ke hijau kekuningan. Pokok kacang soya mempunyai akar tunjang sepanjang 15 cm. Akar adventitius tumbuh daripada hipokotil. Nodul akar adalah kecil dan berbentuk sfera.

Kacang soya adalah legume berprotein tinggi (keluarga Fabaceae) yang ditanam sebagai makanan bagi manusia dan ternakan. Perkataan soy diambil daripada perkataan bahasa Jepun shoyu (kicap).

Kacang soya dianggap sebagai sumber protein lengkap, contoh, protein yang mengandungi sejumlah besar kesemua asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh manusia kerana ketidakupayaan badan manusia bagi menghasilkannya. Dengan sebab ini, kacang soya amat penting bagi kebanyakan pemakan sayuran atau vegan. Protein kacang soya pada asasnya sama dengan biji legum lain (pulses). Bijiran bukan legum yang lain mempunyai profil yang setanding dengan kacang soya adalah bijiran, oat {Avena sativa} dan kemungkinannya kuinoa.

Aplikasi

Kacang soya merupakan tanaman penting di Amerika Syarikat dimana ia merupakan sumber minyak dan makanan ternakan utama. Di Asia, kacang soya adalah penting bagi penghasilan barangan makanan seperti kicap, dan tempe.

Kacang soya yang direbus bersama kelongsongnya dan dihidangkan dengan garam, dipasarkan dibawah nama Jepun edamame. Kacang soya yang disediakan dengan cara ini merupakan makanan snek popular di Hawai'i dimana, sebagaimana di Jepun, China, dan Korea, kacang soya dan keluaran dari kacang soya seperti (miso, natto, tauhu, douchi, dll.) membentuk sebahagian besar diet permakanan.

Kacang soya boleh diproses dengan pelbagai cara. Bentuk biasa hasil soya termasuk termasuk makanan soya (digunakan untuk makanan ternakan), tepung soya, tauhu, textured vegetable protein (TVP, yang dijadikan pelbagai jenis makanan pemakan sayuran, sesetengah daripadanya bertujuan bagi menyerupai daging), tempe, soya lecithin dan minyak sayuran. Kacang soya juga merupakan bahan utama dalam penghasilan kicap.

George Washington Carver mengetahui kacang soya sebagai sumber penting protein dan minyak. Dia juga menggalakkan petani agar mengamalkan tanam bergilir (crop rotation). Kekacang, kacang soya, ubi keledek atau sebarang tanaman yang mampu mengembalikan nitrogen dan mineral kepada tanah ditanam selang dua tahun dan kemudiannya kapas pada tahun ketiga.

Kebanyakan keluaran tenusu telah ditiru menggunakan kacang soya, dan keluaran seperti susu soya, yogurt soya dan soy cream cheese terdapat dengan mudah dikebanyakan supermarket. Keluaran ini mempunyai tekstur dan bentuk yang serupa dengan keluaran berasaskan susu, bagaimanapun hasil soya tidak mengandungi jumlah kalsium yang banyak, kerana jumlah kalsium yang tinggi dalam kacang soya terikat dengan bentuk tidak larut dan kekal dalam okara. Dengan itu, kebanyakan pengeluar kacang soya menjual keluaran diperkaya dengan kalsium juga. Tofu sering mengandungi sejumlah besar mineral penting ini kerana garam kalsium digunakan bagi pemejal protin dalam susu soya bagi menghasilkan tahu (tofu). Tambahan lagi, protin soya telah didapati mengurangkan penyingkiran kalsium oleh buah pinggang, kesan yang ditingkatkan lagi dengan kandungan tinggi kalsium dalam keluaran soya. Kebanyakan keluaran soya dewasa tidak sepatutnya diberikan kepada bayi, walaupun formula yang dirumus khusus bagi bayi telah dihasilkan masa kini. Sebagai mana formula tenusu, formula berasaskan soya mengandungi vitamin tambahan dan zat lain ditambah kepadanya untuk menjadikannya sesuai bagi keperluan bayi. Dalam sesetengah kes, bayi yang diberikan susu soya dewasa secara berpanjangan menjadi kekurangan zat teruk dan ada yang mati. Tambahan lagi, alahan soya adalah salah satu bentuk alahan makanan yang biasa.

Kacang soya juga digunakan dalam barangan pengilangan termasuk minyak, sabun, kosmetik, resin, plastik, dakwat, krayon, pelarut, dan biodisel.

Penghasilan kacang soya

Kacang soya adalah tumbuhan tempatan bago Asia tenggara, tetapi 45 peratus daripada kawasan kacang soya dunia, dan 55 peratus penghasilan adalah di Amerika Syarikat. US menghasilkan 75 milion tan metrik kacang soya pada tahun 2000 yang mana satu per tiga dieksport. Pengeluar utama lain adalah Brazil, Argentina, China, dan India. Kebanyakan keluaran US adalah sebagai makanan haiwan atau dieksport, walaupun pengambilan soya oleh penduduk US semakin meningkat. Walaupun kacang soya telah dipuji kerana pelbagai kualitinya, kumpulan alam sekitar seperti Greenpeace telah membuat aduan bahawa penanaman kacang soya di Brazil mendorong pengondolan hutan hujan Amazon.

Kacang soya merangkumi 80% minyak boleh dimakan di Amerika Syarikat. Penghasilan minyak kacang soya dilakukan dalam bentuk besar-besaran di U.S., terutamanya oleh Cargill. Kacang soya (18-20% berat kering. minyak) dilenyek dan dihancurkan, kemudian extracted dengan cyclohexane. Minyaknya dicampur bagi penggunaan, dan kadang kala di hidrogenate. Minyak ini kemudiannya dijual keluar negara, dijual sebagai minyak sayuran, atau dijadikan pelbagai jenis makanan tersedia. Proses baru meningkatkan protin tersedia diasingkan bagi tambahan makanan atau makanan kesihatan tambahan. Sisa kelongsong kacang soya kebanyakannya digunakan sebagai makanan haiwan.

Kacang soya merupakan tanaman yang genetiknya sedang diubahsuai, dan GMO kacang soya digunakan dalam penghasilan yang semakin meningkat. Ketika ini, 80% daripada kesemua kacang soya yang ditanam bagi pasaran perdagangan adalah diubahsuai secara genetik. Monsanto adalah pemimpin dalam pengeluaran kacang soya yang diubahsuai secara genetik bagi pasaran perdagangan. Apabila hasil soya khusus seperti tahu dan susu soya bertambah popular, pengeluaran akan berubah daripada syarikat bukan GMO, organik, sedar-kesihatan kepada syarikat besar yang membeli daripada pembekal makanan umum. Dari segi ini, harga tahu dan susu soya menurun berbanding barangan lama ada seperti daging dan susu.

Kacang Botor


Pokok Kacang Botor (bahasa Inggeris: winged bean atau Goa bean), juga dipanggil kacang botol, kacang kelisa, kacang sirek, atau kalkang, ialah tumbuhan kekacang tropika yang berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan baik dalam iklim tropika lembap dengan hujan lebat dan oleh itu, banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina dan Indonesia ke India, Myanmar, dan Sri Lanka.

Pokok Kacang Botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa. Pokok Kacang Botor ialah tumbuhan herba saka, tetapi boleh ditumbuh sebagai pokok semusim.

Lenggai kacang biasanya sepanjang 15-22 sentimeter (6-9 inci) dan mempunyai empat sayap, dengan tepi yang beropol-ropol pada sepanjangnya. Kulitnya lekit-lekit, dan isinya kelihatan separuh lut cahaya di dalam lenggai yang muda. Ketika lenggai cukup masak, warnanya bertukar menjadi perang-abu dan lenggai itu terbelah untuk membebaskan biji-bijinya. Bunganya besar dan berwarna biru pucat. Kekacangnya serupa dengan kacang soya dari segi kegunaan dan kandungan pemakanan, dengan kandungan protein sebanyak 29.8% - 39%.

Pokok Kacang Botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan atau tidak memerlukan banyak baja.

Sebagai pokok tropika, Pokok Kacang Botor amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benih mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam tempoh beberapa minggu.

Kegunaan

Pokok Kacang Botor telah diberi nama samaran, "pasar raya satu spesies", kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan:
  • Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
  • Kacang mempunyai rasa yang sama dengan pucuk asparagus.
  • Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
  • Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun yang serupa dengan daun bayam.
  • Akar yang mempunyai perisa kacang boleh digunakan sebagai sayur berubi yang serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya dengan protein, berbanding ubi kentang.
  • Biji-biji kering amat berguna sebagai tepung, dan boleh dijadikan minuman seakan-akan kopi.
Setiap bahagian Pokok Kacang Botor boleh membekalkan vitamin A dan vitamin-vitamin yang lain. Adalah mungkin bahawa dengan sedikit pembaikan genetik melalui pembiakbakaan pilihan, Pokok Kacang Botor boleh meningkatkan taraf hidup berjuta-juta orang di negara-negara tropika yang miskin.